Starfish1984's Weblog

BAGAIMANA UNTUK ISTIQAMAH SELEPAS TAUBAT?

November 28, 2009
Leave a Comment

Soalan; Saya telah bertaubat kepada Allah dan berjanji pada diri untuk tidak mengulangi dosa yang pernah saya lakukan. Namun setelah beberapa lama, saya kembali melakukan dosa tersebut. Mulanya saya amat bersemangat untuk mengubah cara hidup saya, namun lama kelamaan semangat saya luntur dan saya kembali kepada cara hidup lama. Bagaimana caranya untuk saya tetapkan pendirian?

Jawapan;

Jangan pernah putus asa memohon ampun dari Allah kerana Allah tidak pernah menutup keampunanNya kepada sesiapapu dari hambaNya. Di dalam hadis, Nabi s.a.w. ada bersabda; “Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya di waktu malam untuk hambanya yang melakukan dosa di siang hari agar ia bertaubat dan Dia membentangkan tangannya di siang hari untuk hambanya yang melakukan dosa di malam hari agar ia bertaubat” (HR Imam Muslim dari Abu Musa r.a..).
Sememangnya memulakan taubat lebih mudah dari untuk istiqamah selepas taubat. Kerana itu, untuk memastikan kita tidak kembali semula kepada cara hidup lama kita, kita perlu mengubah gaya hidup kita termasuk suasana dan rakan-rakan sekeliling kita. Untuk itu, para ulamak menasihatkan orang yang bertaubat untuk melakukan amalan-amalan berikut;
1. Melazimi majlis ilmu secara istiqamah; iaitu sentiasa mendengar kupasan-kupasan tentang ayat al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. kerana ia akan memberi motivasi kepada diri untuk terus istiqamah di atas jalan yang diredhai Allah.
2. Banyak membaca buku-buku tentang Allah; iaitu yang mengupas kebesaran Allah dan rahmat serta kasih-sayangnya kepada hamba-hambaNya. Antara buku yang amat baik dibaca ialah yang mengupas tentang Asma-Allah (nama-nama Allah). Lagi banyak ilmu yang kita ketahui tentang Allah, akan semakin cinta kita kepadaNya dan apabila kecintaan kepada Allah telah mensebati dengan hati/jiwa, senanglah untuk kita taat kepadaNya.
3. Sentiasalah menjaga solat berjamaah terutama di masjid. Sabda Nabi s.a.w.; “Apabila kamu lihat seorang itu sentiasa berulang-alik ke masjid, bersaksilah bahawa ia sememangnya benar-benar beriman” (HR Imam Ahmad dan at-Tirmizi dari Abi Sa’id r.a.).
4. Berkawan dengan orang-orang soleh. Sabda Nabi s.a.w.; “Seseorang itu berada di atas agama kawannya. Maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa dia berkawan” (HR Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.).
Akhirnya, banyaklah berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan mental dan spiritual untuk istiqamah. Manfaatkanlah saat-saat yang mustajab doa antaranya di dalam solat khususnya ketika sujud dan sebelum memberi salam. Sabda Nabi s.a.w.; “Saat paling hampir seorang hamba dengan Allah ialah ketika ia sedang sujud. Maka banyakkanlah berdoa pada ketika tersebut”.

Wallahu a’lam.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL


19 AKIBAT DOSA

November 28, 2009
Leave a Comment

1. Kurang mendapat taufiq (petunjuk) dari Allah
2. Rosaknya pandangan dan aqal fikiran
3. Terhijabnya diri dari mengenali kebenaran
4. Hati menjadi rosak
5. Rendah sebutan nama di sisi manusia
6. Waktu dalam kehidupan mereka akan terbuang sia-sia
7. Tidak disukai oleh makhluk Allah
8. Hubungan dengan Allah akan renggang
9. Doa akan terhijab (yakni tidak akan dimakbulkan Allah)
10. Hati akan menjadi keras
11. Tidak ada keberkatan pada rezki dan umur.
12. Terhalang dari mendapat ilmu
13. Hidup berterusan dalam keadaan hina-dina
14. Akan dihina atau diperlekehkan oleh musuh
15. Dada sentiasa merasa sempit dan resah (yakni tidak ada ketenangan dan ketenteraman dalam hidup)
16. Diuji oleh Allah dengan teman atau kawan yang jahat.
17. Sentiasa dalam keadaan duka-cita dan kebimbangan.
18. Kehidupan dan rezki menjadi sempit
19. Fikiran sentiasa resah dan tidak tenteram
(Dikutip dari kitab Al-Fawaid, karya; al-‘Allamah Ibnul Qayyim al-Jauziah, hlm. 67)

Oleh USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL


Aurat

November 28, 2009
2 Comments

Soalan :

Ustaz saya ada satu kemusykilan berkenaan dengan aurat.Apakah hukum lelaki melihat rambut perempuan bukan islam semasa melakukan urusan dengan mereka kerana mereka tidak dituntut menutup rambut kerana mereka bukan orang islam.Minta penjelasan ustaz..

Jawapan :
Assakamu ‘alaiku.
Menjaga mata dari melihat aurat wanita ajnabi adalah wajib berdasarkan perintah Allah di dalam surah an-Nur kepada lelaki-lelaki beriman (yang bermaksud); “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan”. (30)

Tujuan perintah tersebut ialah untuk memastikan jiwa/hati orang beriman sentiasa bersih, agama mereka terjaga dan diri mereka selamat dari terjerumus ke dalam zina dan kejatahan. Kerana itu Allah menegaskan di hujung ayat; “…Yang demikian itu lebih suci bagi mereka”. Menurut Imam Ibnu Kathir; maksud “…lebih suci bagi mereka” di dalam ayat di atas ialah; “lebih suci bagi hati dan agama mereka”. Di dalam hadis, Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada seorang lelaki muslim yang melihat kepada keelokan-keelokan seorang wanita, lalu ia menahan pandangannya (yakni ia berpaling dari melihatnya) kerana takutkan Allah, melainkan Allah akan menggantikan untuknya ibadah yang ia rasai kemanisannya” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Umamah r.a.)

Tidak ada beza dari segi hukum antara melihat aurat wanita Islam atau wanita bukan Islam kerana kesannya pada hati adalah sama. Dan telah disepakati oleh para ulamak bahawa rambut wanita adalah aurat. Adalah haram seorang lelaki muslim melihat aurat wanita ajnabi (yakni wanita yang bukan mahramnya) termasuklah rambutnya tanpa mengira wanita itu Islam atau kafir kerana arahan Allah di dalam ayat di atas adalah umum dan kesan pandangan tersebut kepada hati adalah sama. Dikecualikan jika pandangan itu berlaku tanpa disengajakan, maka hendaklah segera dipalingkan. Dari Jarir bin Abdillah r.a. menceritakan; “Aku bertanya Rasulullah berkenaan pandangan yang tiba-tiba”. Lalu baginda menjawab; “Palingkanlah pandangan kamu itu” (Riwayat Imam Muslim).

Baginda berkata kepada Saidina Ali r.a.; “Janganlah engkau mengekorkan pandangan selepas pandangan. Bagimu pandangan pertama dan bukan bagimu pandangan yang lain (yakni tidak harus bagimu mengulangi pandangan setelah terpandang kali pertama secara tak disengajakan)”. (Riwayat Imam Abu Daud dan Tirmizi)

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. Tafsir Ibnu Kathir

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 8:41 AM


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.